Bismillah

Thursday, September 3, 2009

Hakikat Sebuah Perjuangan

PERTAMA

Dalam fasal ini kita akan membicarakan tentang Jihad dan bahagian-bahagiannya. Jihad ini tidak dapat dilakukan kecuali oleh orang yang tidak menghiraukan apa-apa cercaan dalam perjuangannya di jalan Allah, kerana penglibatannya dalam gerakan jihad akan menyebabkan sebahagian besar manusia membuat penentangan ke atasnya. Semua jenis kekuasaan akan bergerak menentang mujahid tersebut. Dengan demikian bermulalah tuduhan-tuduhan, tersebarlah fitnah, bermulalah pertikaian lidah, perbalahan pemikiran dan kritikan dari semua sudut. Anda akan dapati juga golongan-golongan kafir akan membuat berbagai penentangan dengan berbagai cara. Orang ramai akan memperkatakan tentang diri al-Mujahid (pejuang). Mereka akan mengata apa yang orang lain kata.

Gerakan menakut-nakutkan dan menyekatnya akan berlaku sama ada oleh orang-orang yang jauh dari anda. Sekatan seumpama itu dilakukan oleh bapa, isteri, saudara-mara, kaum kerabat yang dekat dan yang jauh serta oleh jiran-jiran. Tambahan lagi jihad itu mempunyai tugas-tugas berbentuk tenaga dan kebendaan. Orang-orang yang menilaikan sesuatu dengan hanya semata-mata berpegang kepada neraca dunia akan turut menentang mujahidin (pejuang-pejuang) dengan apa jua cara.

Berhadapan dengan ini semua, maka seseorang itu tidak mungkin dapat meneruskan jihad kecuali orang-orang yang tidak mengambil hirau cercaan-cercaan, berjuang kerana Allah dan berjuang pada jalan Allah.

Ia berjuang dengan tangan, lidah dan hartanya. Dia berjuang dengan berbagai cara yang dibenarkan. Biarpun manusia tidak suka perjuangannya, dia tidak akan mengambil pusing. Dia bersedia menanggung segala tekanan. Iaitu tentangan dari masyarakat yang enggan menerima jihad fi sabilillah, tentangan dari pemikiran dunia yang menganggapkan bahawa gerakan jihad fi sabilillah sudah tamat peranannya dan tekanan perasaan hati dari masyarakat dunia yang dusta yang telah lari dari Allah itu. Tetapi seorang mujahid tidak mempedulikan semua ini dalam perjuangannya pada jalan Allah.

Komunis, Kapitalis, Zionis, Freemason, Mesionari, gerakan Salibiyyah, kuasa-kuasa besar atau kecil semuanya akan membuat penentangan. Namun demikian mujahid akan terus berjihad tanpa takut kepada cercaan sesiapa. Pakatan-pakatan jahat nuntuk menentangnya akan dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan dalam segenap segi; dilakukan ke atas kerjanya; perniagaannya, keluarganya dan ke atas orang-orang yang ada kaitan rapat dengannya. Tetapi ia tetap berjuang sehingga syahid fi sabilillah seperti yang difirmankan oleh Allah:

"Di antara orang-orang mu'min itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu, dan mereka sedikitpun tidak merubah janjinya."
(Surah Al-Ahzab: Ayat 23)

Sesiapa yang memiliki sifat ini maka dia akan dapat menjalankan jihad dan dialah pejuang yang dimaksudkan oleh ayat:

"Mereka berjihad di jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela."
(Surah Al-Ma'idah: Ayat 54)

KEDUA

Tetapi jihad yang sebenar tidak dapat dilakukan kecuali oleh orang yang dapat membebaskan dirinya dari mencintai kehidupan dunia dan orang yang berilmu. Al-Bazzar meriwayatkan dari Mu'az bin Jabal radiyallahu 'anhu yang mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam bersabda:

"Sesungguhnya kamu akan tetap berada di jalan yang sebanar dari Tuhan kamu selama tidak timbul di kalangan kamu dua perkara mabuk iaitu kejahilan dan sayangkan hidup. Kamu akan terus menyuruh kepada al-Ma'ruf dan melarang dari al-Munkar serta terus berjihad pada jalan Allah. Tetapi apabila timbul pada kamu perasaan sayang dan kasihkan dunia maka kamu tidak lagi menyuruh kepada al-Ma'ruf, menegah dari al-Munkar dan berjihad pada jalan Allah. Di ketika itu jika kedapatan orang-orang yang memperkatakan al-Kitab dan al-Sunnah maka mereka berkedudukan sama seperti generasi pertama Islam yang terdiri dari al-Muhajirin dan al-Ansar."

Tidak adanya perjuangan ini akan menyebabkan umat Islam kehilangan sifat istimewa "umat terbaik" (Al-Khairiyyah) seperi yang tersebut dalam ayat:

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah."
(Surah Ali-'Imran: Ayat 110)

Ibn 'Asakir meriwayatkan dari 'Adiy bin Hatim radiyallahu 'anhu yang mengatakan:

"Ma'ruf yang kamu kenali sekarang adalah merupakan munkar yang dikenali pada zaman dahulu. Dan munkar yang kamu kenali sekarang akan menjadi ma'ruf pada masa yang akan datang. Sesungguhnya kamu sentiasa baik (khair) selagi kamu mengetahui perkara yang kamu ingkari. Dan kamu tidak akan ingkari perkara yang kamu tahu selagi ada seorang yang 'alim di kalangan kamu memperkatakan sesuatu yang jelas dan dia hormati (tidak direndah-rendahkan)."

Oleh itu untuk terlaksananya jihad maka perkara-perkara berikut mesti ada. Mesti ada ilmu, mesti ada kezuhudan dan mesti ada persediaan untuk mati pada jalan Allah. Al-Tabraniy meriwayatkan dari Ibn Mas'ud radiyallahu 'anhu yang mengatakan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam datang kepada saya dan memanggil nama saya: "Wahai Ibn Mas'ud, saya menjawabnya, Baginda memanggil tiga kali, kemudian menanya saya "Apakah kamu tahu siapakah yang terbaik? Saya menjawab Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda mengatakan, Sesungguhnya manusia yang terbaik ialah orang yang terbaik amalannya jika mereka faham kandungan agama mereka. Kemudia baginda mengatakan: Wahai Ibn Mas'ud. Saya menjawab ya, wahai Rasulullah. Baginda mengatakan: Apakah kamu tahu siapakah yang paling 'alim? Saya menjawab Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda berkata: Sesungguhnya orang yang paling 'alim ialah orang yang dapat melihat kebenaran ketika manusia bertikai biarpun ia kurang amalan dan (biarpun) bergerak secara mengesot. Sesungguhnya orang-orang yang sebelum aku telah berselisih kepada 72 puak. Tiga daripadanya terselamat dan yang lain binasa. Satu kumpulan menentang raja-raja dan mereka dibunuh kerana mereka berpegang kepada agama mereka dan agama 'Isa bin Maryam. Mereka ditangkap dan digergaji. Satu kumpulan tidak berupaya tinggal bersama-sama mereka. Oleh itu mereka keluar ke kawasan pedalaman membawa agama 'Isa bin Maryam dan terus menjadi rahib. Merekalah yang difirmankan oleh Allah ('Azza wajalla):

"Dan mereka mengada-ngadakan rahbaniyyah (tidak beristeri atau bersuami) padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka tetapi (mereka sendirilah yang mengada-ngadakannya) untuk mencari keredhaan Allah."
(Surah Al-Hadid: Ayat 2)

Kemudian Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam mengatakan: Sesiapa beriman dengan aku, membenarkan aku serta mengikut aku maka sesungguhnya mereka sebenar-benar menjaganya. Dan sesiapa yang tidak mengikut aku maka mereka adalah orang-orang yang binasa. Menurut riwayat lain: (Sekumpulan tinggal bersama raja-raja dan penguasa-penguasa zalim. Mereka berda'wah kepada agama 'Isa lantas ditangkap dan dibunuh dengan gergaji serta dibakar dengan api tetapi mereka terus bersabar sehingga mati, yang kemudian juga berlaku serupa).

KETIGA

Dalam bab jihad amr bil ma'ruf dan nahyu 'anil munkar kedapatan ramai manusia yang membuat tanggapan salah:

1. Ada setengah orang membuat tanggapan bahawa oleh kerana Islam itu ialah agama Allah maka Allah pasti akan menolong agamanya dan mereka tidak perlu mengambil berat soal ini atau tidak perlu berkorban untuknya.

Tanggapan ini adalah tanggapan sesat dan terkeluar daripada kefahaman Islam yang sebenar. Allah (Subhanahu wa Ta'ala) berfirman:

"Demikianlah, apabila Allah menghendaki nescaya Allah akan membinasakan mereka, tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain."
(Surah Muhammad: Ayat 4)

Jadi Allah adalah berkuasa memberi pertolongan tetapi Allah mahu menguji kita. Oleh itu diwajibkan jihad dan diwajibkan kita melaksanakan amr bil ma'ruf dan nahyu 'anil munkar. Kalau kita tidak melaksanakan ini dan tidak sabar maka kita adalah berdosa dan berhak dikenakan seksaan Allah:

"Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu."

(Surah Muhammad: Ayat 31)

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung."

(Surah Ali-'Imran: Ayat 104)

"Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyiksa mereka dengan (perantaraan) tangan-tanganmu dan Allah akan menghinakan mereka dan menolong kamu terhadap mereka, serta melegakan hati orang-orang yang beriman dan menghilangkan panas hati orang-orang mu'min."

(Aurah At-Taubah: Ayat 14-15)

"Tidaklah kamu perhatikan orang-orang yang dikatakan kepada mereka: "Tahanlah tanganmu (dari peperangan), dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat!". Setelah diwajibkan kepada mereka berperang tiba-tiba sebahagian dari mereka (golongan munafiq) takut kepada manusia (musuh), seperti takutnya kepada Allah, bahkan lebih sangat dari itu takutnya. Mereka berkata: "Ya Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan berperang kepada kami? Mengapa tidak Engkau tangguhkan (kewajipan berperang) kepada kami sampai kepada beberapa waktu lagi? Katakanlah: Kesenangan di dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertaqwa, dan kamu tidak akan dianiaya sedikitpun."

(Surah An-Nisa': Ayat 77)

Ada di antara mereka yang mempunyai tanggapan bahawa jika dia sudah membaiki dirinya maka ia tidak berkewajiban lagi memperbaiki orang lain. Hujjah yang digunakan ialah ayat Al-Quran:

"Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu sendiri; dan tiadalah membahayakan kepadamu orang yang telah sesat, bila kamu telah mendapat petunjuk."

(Surah Al-Ma'idah: Ayat 105)

Tanggapan itu adalah suatu fahaman yang salah terhadap maksud ayat ini, kerana ayat ini tidaklah bermaksud melarang kita daripada menyuruh kepada al-ma'ruf, melarang al-munkar atau berjihad. Tetapi sebenarnya ayat ini menceritakan tentang orang-orang yang sesat, di mana kesesatan mereka tidak akan membabitkan kita pada sisi Allah. Kerana mereka bertanggungjawab sendiri di atas perbuatan masing-masing di hadapan Allah. Dan kita bertanggungjawab sendiri di atas perbuatan kita. Sesungguhnya sahabat-sahabat telah mentafsirkan ayat ini dengan tafsiran yang lain daripada orang-orang itu.

Daripada Qais bin Abi Hazim beliau berkata, Abu Bakar radiyallahu 'ahnu sesudah daripada beliau menaiki mimbar dan memuji Allah beliau berkata: "Wahai manusia sesungguhnya kamu membaca ayat:

"Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu sendiri; dan tiadalah membahayakan kepadamu orang yang telah sesat, bila kamu telah mendapat petunjuk."

(Surah Al-Ma'idah: Ayat 105)

Sesungguhnya kamu meletakkannya bukan pada tempatnya. Saya pernah mendengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam bersabda:

"Sesungguhnya apabila manusia melihat kemungkaran dan mereka tidak mengubahnya adalah dibimbangkan yang Allah akan menyiksa kamu semua."

Daripada Ibn 'Abbas radiyallahu 'anhu beliau berkata: Abu Bakar radiyallahu 'anhu duduk di atas mimbar Rasulullahu 'alaihi Wasallam, dia memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi Sallallahu 'alaihi Wasallam kemudian dia menghulur dua tangannya dan meletakannya di atas tempat duduk yang pernah diduduki oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam di mimbarnya itu. Kemudian beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam yang dicintai duduk di sini dan mentafsirkan ayat:

"Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu sendiri; dan tiadalah membahayakan kepadamu orang yang telah sesat, bila kamu telah mendapat petunjuk."

(Surah Al-Ma'idah: Ayat 105)

"Tidak ada sesuatu kaum yang sebahagian orang daripada kaum itu melakukan kemungkaran dan melakukan keburukan di kalangan mereka dan mereka membiarkannya dengan tidak mengubah dan mengingkari kecuali seluruh kaum itu berhak dikenakan siksa oleh Allah. Doa mereka tidak dimakbulkan. Kemudia dia (Abu Bakar) memasukkan kedua anak jarinya ke telinganya dan mengatakan aku harap (adalah lebih baik) yang aku tidak mendengar Rasulullah mengatakan demikian (kerana) tuli."

(Riwayat Ahmad dari Anas)

Keimanan pasti mendorongkan jihad, menyuruh kepada al-ma'ruf dan melarang al-munkar sepertimana yang akan dapat kita lihat nanti. Allah menyuruh kita supaya mengambil berat tentang diri kita sendiri dan ini bukanlah bererti dia menggugurkan jihad dari kita. Kalau difahamkan demikian maka itu merupakan sangkaan yang salah. Tetapi mengambil berat diri atas diri sendiri itu adalah memasukkan juga kewajiban jihad dan lain-lain kewajiban supaya kita laksanakan. Jadi ayat di atas tidak menggugurkan kewajiban berjihad daripada kita. Tetapi sebaliknya memberitahu kita bahawa jika kita sudah menjadi baik maka orang-orang yang sesat itu tidak akan memudaratkan kita. Termasuklah di dalam usaha pemulihan (ISLAH) kita ialah berjihad menyuruh kepada yang ma'ruf, menegah yang munkar serta menyahut perintah Allah dan Rasul. Allah berfirman:

"Hai orang-orang yang beriman, sahutlah (seruan) Allah dan Rasul, bila Ia menyeru kamu, untuk menghidupkan kamu."


(Surah Al-Anfal: Ayat 24)
KEEMPAT

Sesungguhnya jihad hati (jihad al-Qalb) adalah merupakan martabat keimanan yang terendah dan paling lemah. Ianya satu jihad yang dilupakan. Sedangkan kewajiban itu tidak diberi rukhsah (keringanan) kecuali dengan beberapa syarat yang banyak. Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam bersabda:

"Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu munkar hendaklah ia mengubah dengan tangannya, jika ia tidak boleh hendaklah mengubah dengan lidahnya dan jika tidak boleh hendaklah mengubah dengan hatinya. Demikian itu adalah selmah-lemah iman."

"Sesiapa yang berjihad mereka dengan tangannya maka dia adalah mu'min, sesiapa yang menjihad mereka dengan lidahnya maka dia adalah mu'min dan sesiapa yang menjihad mereka dengan hatinya maka dia adalah mu'min. Selain daripada itu tidak ada iman walaupun sebesar biji sawi."

Sesungguhnya ahli-ahli fiqh menganggap perbuatan berdiam diri demi menghapuskan bid'ah dan munkar yang berlaku akan turut membawa seseorang itu berkongsi dosa, kecualilah apabila dia lemah daripada menghapus atau menghalangnya.

Ahli-ahli fiqh Mazhab Hanafi mengatakan: "Berdiam diri daripada bid'ah dan munkar bermakna ia reda kalau ia berupaya, jika ia tidak berupaya maka memadailah baginya mengingkari bid'ah dan munkar itu dengan hatinya." Walaubagaimanapun yang terlebih baik ia melakukan usaha menghalang atau menghapuskannya dan dalam keadaan ini jika dia dibunuh maka dia gugur sebagai syahid. Antara yang disebutkan oleh Ibn 'Abidin di dalam Hashiahnya ialah:

"Tetapi disebutkan di dalam kitab "Sharh al-Siyar" tidak mengapa jika seseorang menanggung (tugas menghapus bid'ah dan munkar) seorang diri biarpun kuat sangkaannya yang dia akan dibunuh atau dicederakan atau dikalahkan jika dia melakukannya. Sesungguhnya sekumpulan sahabat telah melakukan demikian, pada masa Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam masih hidup, iaiatu semasa peperangan Uhud dan Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam memhuji perbuatan mereka itu. Tetapi jika seseorang itu sudah mengetahui dia tidak akan dapat mengubah mereka (orang kafir) maka dia tidak boleh secara persendirian menentang mereka, kerana penentangan yang dibuat itu tidak mendatangkan apa-apa kemuliaan agama; Walaubagaimanapun ini berlainan dengan kewajiban mencegah orang-orang Islam daripada menjadi fasiq kerana melakukan mungkar. Apabila ia mengetahui bahawa orang-orang Islam itu tidak akan berhenti melakukan mungkar malah akan membunuhnya jika ia melarang, maka dalam keadaan itu tidak mengapa dia tidak bertindak. Walaupun dalam perkara ini diberikan rukhsah (kebenaran) untuk berdiam diri tetapi dibenarkan beliau bertindak sebab orang-orang Islam itu sudah mengetahui dan mempercayai apa yang diperintahkan ke atas mereka. Dengan adanya tindakan tadi sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada hati mereka. Hal ini tidak sama dengan orang-orang kafir." Jadi ini bermakna "rukhsah" itu ada dalam batasannya, tetapi "azimah" menghendaki ia bertindak." Dia mengatakan: "Aku pernah mendengar al-Hajjaj bersyarah dan dalam syarahannya itu, aku dapati ada perkataannya yang aku engkari. Aku ingin mengubahnya. Aku teringat sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam:

"Tidak patut bagi seseorang mu'min menghina dirinya sendiri. Aku bertanya, wahai Rasulullah: Bagaimana boleh seseorang itu menghina dirinya sendiri? Baginda menjawab: Dia menentang bala' yang dia tidak terdaya."

Tetapi rukhsah ini difahami secara umum oleh orang ramai sehingga meliputi juga kewajipan amr bil ma'rul dan nahyu 'anil munkar. Dengan itu peru ditentukan batas-batasnya biarpun secara ringkas:

Sesungguhnya seseorang itu tidak boleh meninggalkan al-amr bil ma'rul dan nahyu 'anil munkar kecuali dalam dua keadaan:

1. Hendaklah diketahui dengan pasti lagi yakin bahawa tindakannya menyuruh al-ma'ruf dan melarang al-munkar tidak akan menghapuskan keburukan. Dia yakin yang suruhannya atau tegahannya atau diamnya semuanya sama.

2. Pasti yang bahaya akan menimpanya akibat suruhan atau tegahannya itu. Bahaya atau darar yang dikira sebagai ukuran yang boleh menggugurkan al-amr bil ma'rul dan nahyu 'anil munkar ialah seperti pukulan yang menyakitkan yang dengannya dia akan menderita, atau dimusnahkan rumahnya atau pun semua pakaiannya dirampas. Adapun bahaya setakat dikata, dihina, dicaci, dikatakan riya', munafiq dan berfaham kolot, sama ada kata-kata itu dilakukan di hadapan atau di belakangnya, maka semua itu tidak menggugurkan kewajipan tersebut. Sebab jika ditinggalkan al-amr bil ma'rul dan nahyu 'anil munkar kerana cacian, cercaan, tuduhan dan menjaga maruah maka al-amr bil ma'rul dan nahyu 'anil munkar selama-lamanya tidak akan bertegak. Allah menyuruh kita supaya bersabar dalam melaksanakan al-amr bil ma'rul dan nahyu 'anil munkar. Apa ertinya kesabaran jika tidak dalam keadaan demikian. Allah berfirman:

"Wahai anakku dirikanlah sembahyang dan suruhlah orang (memperbuat) yang ma'ruf (yang baik), dan laranglah (memperbuat) yang munkar (haram), serta sabarlah atas cubaan yang menimpa engkau. Sesungguhnya demikian itu pekerjaan yang dicita-citakan."

Sesungguhnya al-amr bil ma'rul dan nahyu 'anil munkar tidak akan gugur kecuali dengan syarat-syarat. Dan apabila kewajipan gugur galakan (istihbab) tetap kekal.

KELIMA

Selain daripada itu jihad dengan hati bukan bermakna hati itu mati, tidak memarahi sesuatu munkar. Tetapi sebaliknya jihad dengan hati bermakna menolak segala bentuk maksiat itu di hadapannya atau dibelakangnya. Kalau hati itu tidak bersifat demikian, maka bermakna yang hati itu sudah terkeluar daripada Islam.

Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Jika dilakukan kesalahan di muka bumi maka sesiapa yang menyaksikannya hendaklah ia benci (dan dalam riwayat lain hendaklah ia engkar); Jika dia berbuat demikian dia adalah seperti orang yang tidak menyaksikannya (yakni tidak berdosa). Dan sesiapa yang ghaib (tidak menyaksi) tetapi ia menyutujui (reda) kesalahan itu maka kedudukannya sama seperti orang yang menyaksikannya."
(Riwayat Abu Dawud)

Dalam hadith lain Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Fitnah datang bertubi-tubi menimpa hati, mana-mana hati yang menerima (reda) ia meninggalkan satu titik hitam. Mana-mana hati yang mengengkarinya ia meninggalkan satu tititk putih sehingga dua hati itu menjadi satunya putih seperti bati licin (safa) yang tidak termakan fitnah selagi ada langit dan bumi dan satu lagi menjadi hitam seperti bahagian bawah kuali besi. Hati hitam ini tidak mengenal kebaikan dan tidak mengengkari kemungkaran. Ia hanya ikut nafsunya."

(Riwayat Muslim dari Huzaifah)

KEENAM

Kita telah membincangkan secara ringkas tentang "jihad dengan hati" atas perkiraan yang ianya merupakan sudut "negatif" dalam jihad. Dengan sebab itu kita perlu menentukan batas-batas jihad hati ini sebelum daripada kita membincangkan sudut "positif". Kita juga telah membincangkan tentang al-amr bil ma'rul dan nahyu 'anil munkar dan bagaimana kedudukan dan hubungannya dengan jihad. Kita dapat perhatikan bahawa kedua-duanya merupakan perkara yang sama sahaja apabila dirujukkan kepada "jihad dalam negara Islam" dan hal ini akan dapat kita lihat dengan jelas apabila kita membicarakan jenis-jenis jihad.

KETUJUH

Kesimpulan yang boleh kita ambil, sesudah kita kemukakan ialah:

Jenis-jenis jihad yang disebutkan oleh Al-Quran dan Al-Sunnah terdiri dari lima jenis:

Pertama: Jihad dengan lisan
Kedua: Jihad dalam pengajaran
Ketiga: Jihad dengan tangan dan diri
Keempat: Jihad politik
Kelima: Jihad harta

Dasar kewajipan bagi kelima-lima jenis jihad adalah dasar seperti berikut:

"Berjihadlah ke atas orang musyrikin dengan harta, diri dan lidah kamu." Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud, Nasa'i, Ibn Hiban dan Hakim daripada Anas. Hadith ini menyebutkan ketiga-tiga jenis jihad di atas sekaligus.

"Sebaik-baik jihad ialah memperkatakan sesuatu yang benar di hadapan penguasa yang zalim." Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Ibn Majah daripada Abi Sa'id al-Khudri sebagai "marfu". Jihad yang disebutkan oleh hadith ini ialah "jihad politik" sebab ini bertujuan untuk menjadikan sistem pemerintahan sebagai pemerintahan yang terbaik dan paling adil.
"Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu'min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya."

(Surah At-Taubah: Ayat 122)

Ayat ini mengungkapkan kalimah "nafar", kepada menuntut ilmu dan mengajarnya sedang kalimah ini pada kebiasaannya digunakan untuk jihad. Jadi ketiga-tiga nas di atas adalah menyatakan kelima-lima jenis jihad yang desebutkan.Kesemua jenis jihad ini jika dilakukan di dalam negara Islam dinamakan "amr bil ma'ruf dan nahyu 'anil munkar". Sebenarnya di antara jihad dengan amr bil ma'ruf dan nahyu 'anil munkar ada kesebatian. Kadang-kadang amr bil ma'ruf dan nahyu 'anil munkar disebut jihad dan kadang-kadang jihad pula dikatakan amr bil ma'ruf. Sebutan demikian digunakan untuk jihad/amr bil ma'ruf dan nahyu 'anil munkar yang dilakukan di luar negara Islam ataupun di dalam negara Islam. Tetapi praktis atau amalan menganggapkan: "Jihad yang dilakukan di dalam negara Islam diberi nama amr bil ma'ruf dan nahyu 'anil munkar . Manakala yang berlaku di luar negara Islam disebut jihad." Apa yang kita sebutkan ini boleh diperhatikan di dalam teks (nas) berikut:

Kata 'Ali bin Abi Talib radiyallahu 'anhu:

"Jihad itu ada tiga peringkat. Jihad dengan tangan, jihad dengan lisan dan jihad dengan hati. Jihad yang pertama sekali dikalahkan dengan jihad dengan tangan, kemudia jihad lisan kemudian jihad hati. tetapi jika hati tidak mengetahui sesuatu yang baik (ma'ruf) dan tidak mengingkari sesuatu yang mungkar, maka ia menjadi terbalikan iaitu dengan menjadikan yang atas ke bawah".

Di dalam riwayat lain, 'Ali radiyallahu 'anhu juga mengatakan:

"Pertama sekali jihad yang mesti kamu lakukan ialah jihad dengan tangan kamu, kemudian jihad dengan hati kamu. Jadi mana-mana hati yang mengenali sesuatu yang baik (al'ma'ruf) dan tidak mengingkari sesuatu yang munkar ia menterbalikkan yang atas ke bawah, sama seperti jika karong diterbalikkan dengan mulut (atas) ke bawah, maka akan terhamburlah apa yang di dalamnya."

Daripada Abi Sa'id al-Khudri radiyallahu 'anhu dia berkata: Saya mendengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam bersabda:

"Sesiapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran hendaklah dia mencegahnya (mengubah) dengan tangannya, jika tidak berdaya hendaklah dengan lidahnya dan jika inipun tidak berjaya hendaklah dengan hatinya. tetapi mencegah dengan hati ini adalah selemah-lemah iman."

Daripada Ibn Mas'ud radiyallahu 'anhu dia berkata bahawa Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam bersabda:

"Tidak ada seorang Nabi pun yang diutuskan sebelum daripada aku kecuali di kalangan umatnya ada hawariyyun (pengikut-pengikut yang setua) ashab (sahabat-sahabat) yang mengikut sunnah dan berpandukan perintahnya. Selepas itu mereka meninggalkan generasi-generasi yang mengeluarkan kata-kata fatwa teteapi mereka sendiri tidak mengamalkan apa yang mereka katakan itu; mereka melakukan perkara-perkara yang tidak diperintahkan. maka sesiapa yang berjihad ke atas mereka dengan tangannya maka dia adalah orang mu'min dan sesiapa yang berjihad ke atas mereka dengan lidahnya maka dia adalah seorang mu'min. Selain daripada ini tidak ada iman walaupun sebesar biji sawi."

Wallahua'lam.

0 comments:

Post a Comment

 
Ke Arah Generasi Dae. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.